Cheng Ho : Armada Laut Muslim Tionghua (2)


Kehebatan Cheng Ho.


Sepanjang keberadaaannya di istana sebagai sida-sida atau pelayan diraja, beliau telah memanfaatkan segala peluang yang ada, samada mendalami ilmu peperangan, ilmu sejarah, selok belok strukutur istana dan pelbagai lagi. Malah lebih hebat lagi, beliau diberi penghormatan yang tinggi oleh Maharaja Zhu Di setelah diangkat dan dilantik sebagai ketua sida-sida peringkat tertinggi di sisi Maharaja Zhu Di. Sida-sida walaupun di dalam sejarah disebut sebagai golongan yang rendah dan hina, tetapi Cheng Ho tidak pernah menjadikan status tersebut sebagai batu penghalang untuk menjadi seorang yang hebat dalam sejarah.



Mungkin kita terfikir, bagaimana Cheng Ho diberi kepercayaan sebegitu rupa oleh Maharaja Zhu Di iaitu pemerintah Dinasti Ming ketika itu untuk memegang jawatan laksamana. Tetapi segalanya tidak mustahil kerana awal-awal lagi Cheng Ho telah mengambil peluang untuk mempamerkan diri, dan membuktikan dirinya sememangnya berjiwa kental dan hebat.

Pernah berlaku satu peperangan antara Maharaja Zhu Di menentang baki-baki pengikut Zhun Yu Wen yang masih berlegar di luar daerah di sekitar istana dan daerah di China. Cheng Ho telah bersama-sama dengan Zhu Di menentang musuh-musuh di medan peperangan dengan tangkas, hebat dan cekal bagai seorang pahlawan. Maka bermula di situlah bakat Cheng Ho mula dikesan dan dihidu oleh Zhu Di. Sejak dari itu juga Zhu Di memberi kepercayaan penuh kepada Cheng Ho untuk memimpin armada perang dan dagang yang hebat dan agung itu. Cheng Ho bukan sahaja dilihat hebat oleh Zhu Di dari sudut luaran sahaja, bahkan Cheng Ho sangat dikenali dengan peribadi yang hebat, sikap dan akhlak yang baik, berjiwa kental, taat beragama dan mudah didekati.

Kepincangan sejarah tentang Cheng Ho.

Pernah tak kita terbaca tentang pelayaran agung Cheng Ho ke Melaka? Mungkin kebanyakan dari anda semua tak pernah terlepas dari terbaca mengenai pelayaran beliau dalam buku-buku sejarah sekolah rendah atau menengah. Namun bagi saya, pelayaran beliau bukanlah sekadar pelayaran dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata, bahkan ianya lebih bermakna dari itu.

Setelah saya membelek buku yang mengisahkan tentang pelayaran agung Cheng Ho, saya termangu sebentar. Berasa macam tak percaya. Bahkan saya yang seperti insan yang lain pabila membaca tentang sejarah hebat seseorang tokoh, tak dapat menafikan mengapa nama Cheng Ho kurang disebut di dalam sejarah, bahkan ada pihak yang cuba menenggelamkannya sedalam mungkin dalam perut sejarah.

Saya terkejut dan berasa terfikir mengapa kebanyakan kisah Cheng Ho hanya disebut beliau melakukan pelayaran dagang ke negara asing dan membuat hubungan diplomatik dengan negara tersebut. Kisah beliau hanya banyak berlegar-legar dengan kisah sebegitu, kisah beliau membawa barang-barang dagang dan membuat hubungan diplomatik. Sekadar itu, kebanyakkannya. Mungkin anda akan perasan bila membelek-belek semula kisah-kisah beliau di dalam buku-buku teks dan kebanyakkan darinya.

Apa yang saya ingin sebutkan ialah bagaimana keperibadian beliau, kehebatannya memimpin armada yang agung, keIslaman beliau, gerak kerja dakwah beliau, toleransi dan ketegasan beliau dalam hubungan dengan penganut lain, sumbangan besar beliau pada agama Islam, dan yang lain-lain sangat kurang ditonjolkan.




Bahkan setelah meneliti dalam banyak buku-buku sejarah, ada pihak yang beranggapan bahawa Cheng Ho bukan beragama Islam, tetapi beliau menganut agama Buddha. Buktinya terdapat banyak patung-patung Cheng Ho dibina di tokong-tokong sebagai tugu peringatan di Jawa, Indonesia bahkan terdapat juga di Malaysia dan Brunei.

Saya rasa perkara seperti ini walaupun boleh dikira sebagai pengaruh sejarah China yang dibawa ketika zamannya, tetapi tidak sepatutnya peribadi dan kepercayaan beliau diseret sebagai orang yang bukan beragama Islam. Ini yang dipersoalkan.

Armada laut Muslim yang hebat.

Untuk makluman anda semua, di sini saya akan berikan beberapa maklumat mengenai persiapan perdagangan dan pelayaran yang dilakukan oleh Cheng Ho dan tentera - tentera di bawah pimpinannya.

Pada peringkat awal pembacaan saya, saya tertanya mengapa terlalu agung pelayaran Cheng Ho ini?Hingga disebut dalam kebanyakan buku sebagai pelayaran agung?.

Pernah satu ketika sahabat saya dalam kelas subjek yang sama, membentangkan tentang sejarah Dinasti Ming, dan menyentuh sedikit tentang laksamana Cheng Ho yang diutus oleh Maharaja Ming ketika itu. Sahabat saya menyebut jumlah awak-awak kapal yang dibawa dalam kapal Cheng Ho tersebut berjumlah 2700 orang.




Saya terfikir sejenak, 2700 orang? Betul ke?. Ramai jugak tu. Dalam hati saya berkata ; "patutlah namanya pelayaran agung."

Tapi setelah saya meneliti semula kebanyakkan buku berkenaan Cheng Ho dan tenteranya dalam pelayaran tersebut, ternyata saya tersilap. Sahabat saya pun silap. Bukan 2700 orang, tetapi 27, 800 orang!!.

Saya terkedu buat kali kedua, aduh..hebatnya sejarah umat terdahulu. Sangat hebat.

Bagaimana membawa lebih dari 27 ribu orang dalam pelayaran yang sangat jauh untuk 7 kali pelayaran ?? Dalam keadaan lautan yang semua orang tahu sifatnya, bergelora, berombak. Kadang-kadang taufan dan ribut. Subhanallah. Itu sahaja yang mampu saya katakan.

Selain berbekalkan dengan 27 ribu orang awak-awak kapal, kapal tersebut dipenuhi dengan barang-barang dagangan seperti sutera, wangi-wangian, rempah dan sebagainya yang berkapasiti lebih dari 2500 tan muatan.

Kapal-kapal yang dipimpin oleh Cheng Ho bukanlah satu atau dua buah, bahkan ratusan buah kapal!!. Antaranya 62 buah kapal besar, diiringi dengan lebih kurang 200 buah kapal kecil yang berfungsi sebagai kapal komando, kapal kuda, kapal tempur dan sebagainya. Ukuran bagi sebuah kapal besar Cheng Ho adalah berukuran sekitar 122 meter panjang dan 52 meter lebar menjadikan ia kapal yang terbesar di dunia pada ketika itu.




Bayangkan selama 7 kali pelayaran yang dilakukan oleh Cheng Ho sepanjang 28 tahun, berlayar sejauh beribu batu ke negara seperti Afrika, Ormuz, Asia Tenggara, Jawa, Melaka dan lain -lain berbekalkan dengan kekuatan armada yang tidak dapat ditandingi sesiapa walaupun selepas 100 tahun Cheng Ho meninggal dunia.

Pelayaran agung Cheng Ho yang membawa misi damai dan dagang ini tidak mampu ditandingi tokoh pelayaran lain seperti Vasco Da Gama, Christoper Colombus, Marco Polo dan Ferdinand Magellan. Kebanyakkan mereka melakukan pelayaran sekitar 50 - 100 tahun selepas Cheng Ho bahkan masih tidak mampu untuk menandingi kekuatan armada laut yang pernah dipimpin oleh Cheng Ho.

Kadang-kadang selang waktu saya membelek-belek, membaca sejarah Cheng Ho, hati saya rasa kembang. Teruja. Bangga. Bukan bangga sebab apa, tapi sebab sejarah Cheng Ho adalah salah satu sejarah umat Islam, beliau juga seagama dengan saya, walaupun berlainan bangsa, beliau mampu mengangkat nama Islam dalam sejarah yang sangat agung. Ya! Saya sangat berbangga!!



4 comments:

ABDUL LATIP said...

Saya memohon keizinan daripada tuan untuk menyalin kisah Laksamana Cheng HO ini. Beliau juga pahlawan Islam yang kisahnya elok dijadikan novel. Terima kasih atas cadangan yang amat baik ini.

ABDUL LATIP said...

Assalamualaikum
Saya memang tertarik untuk menovelkan kisah Laksamana Cheng Ho ini. Seorang kawan mengatakan ada sebuah manuskrip lama mengenai tokoh ini tersimpan di Muzium Terengganu. Tetapi saya belum berkesempatan untuk ke sana.

ibnu zubair al biroqiyy said...

salam tuan, saya rasa pun begitu. Pensyarah saya di jabatan sejarah ada sebut, sejarah Cheng Ho antara sejarah yang cuba digelapkan oleh sejarawan Barat, disebabkan Cheng Ho seorang yang muslim, dan banyak sumbangan...mana2 tokoh2 yang hebat banyak disorok ketokohan mereka, bahkan ada yang dicop sebagai musuh, pembelot, pengkhianat dan lain2 yang tak elok..

ibnu zubair al biroqiyy said...

kalau tuan dapat novelkan kisah berkenaannya, saya sangat2 setuju. Saya ada membuat sedikit pencarian buku2 tentang Cheng Ho, tapi tak la banyak, mungkin tuan ada sumber2 lain yang lebih baik.