Semangat sejarah yang dicari.




Saya sejak dari bangku sekolah tidaklah minat dengan subjek sejarah. Tambahan pula bila memasuki sekolah menengah dengan subjek sejarah dunia, lebih-lebih membuatkan saya rasa muak dengan sejarah. Namun muak tak muak, saya berusaha juga untuk dapatkan yang terbaik dalam subjek sejarah, alhamdulillah Tuhan berikan saya cemerlang dalam setiap subjek sejarah yang saya ambil.

Tetapi entah sejak bila saya mula berjinak dengan sejarah, saya pun tak tahu. Tahu-tahu sahaja saya sudah membaca berbuah buku sejarah yang agak membosankan bagi orang lain. Sejarah Umat Islam karya Abuya Hamka yang tebal saya sudah habiskan, walaupun pening juga nak memahami bahasa Indonesia. Teringat saya berbulan juga nak habiskannya.





Saya tak tahu sejak bila saya minat membaca dan mengkaji sejarah, tetapi tak semua sejarah saya minat. Saya lebih minat dengan sesetengah sejarah umat Islam, sejarah tokoh-tokoh pejuang, sejarah jatuh bangun umat Islam, sejarah tamadun umat dan sejarah yang tidak disebut.

Namun dalam banyak-banyak sejarah yang ada saya lebih suka mencari sejarah yang tidak disebut, ataupun pensyarah saya sebut "sejarah yang ditenggelamkan".

Saya rasa macam menarik bila istilah seperti itu disebut. Seperti ada sesuatu yang tersembunyi. Nanti saya ceritakan mengapa.





Dalam kajian sejarah disebut, terdapat lebih 70% manuskrip lama yang berkaitan dengan sejarah Melayu, surat-surat rasmi sultan, sejarah budaya, hikayat-hikayat, perjanjian-perjanjian dan sebagainya hilang dan musnah. Sebahagian besar diambil oleh penjajah.

Contohnya surat-surat perjanjian yang penting dibawa pulang oleh Stamford Raffles, Francis Light dan lain-lain. Ada juga surat-surat tersebut musnah akibat kebakaran dan juga tenggelam di tengah-tengah lautan ketika Francis Light membawa pulang ke negaranya.




Inilah yang disebut sejarah yang ditenggelamkan. Itu tidak termasuk dengan data-data sejarah yang disorok, dibuang entah ke mana, disimpan secara rahsia dan sebagainya.

Saya rasa ini satu kerugian besar bagi umat, khususnya kita orang Islam. Saya tidak nafikan ada kemungkinan ini semua nya takdir sejarah, sudah berlaku, sudah lepas dan tak perlu dibangkit-bangkitkan lagi. Tapi saya sebagai seorang anak muda rasa terpanggil untuk mencari apa sebenarnya yang tersirat dari sejarah.

Terbaca tentang sejarah.

Jujurnya saya sebelum ni sememangnya tidak berminat nak mengkaji sejarah. Bahkan di awal-awal tadi saya sebutkan saya memang muak dengan sejarah.

Tapi hidup ini Tuhan tidak aturkan statik, pegun semata-mata. Tapi berubah-ubah. Kadang-kadang ada yang kita tak suka, akan jadi suka dan sebaliknya. Begitu juga dengan diri saya. Saya mengerti inilah proses hidup. Perlunya belajar terus menerus dan mengkaji semampunya.

Mungkin anda tertanya, kenapa dalam banyak topik, kenapa saya memilih sejarah??kenapa tidak yang lain? kenapa nak cerita tentang Melaka?kenapa nak cerita tentang Cheng Ho? sejarah-sejarah dunia? takkah membosankan je? bukan banyak topik lain yang sedang panas macam politik Malaysia hari ini ke? banyak yang ambil bahagian, kenapa nak cerita pasal sejarah??




Jawapan saya mudah, saya nak mencari semangat sejarah yang semakin hilang.

Cheng Ho : Armada Laut Muslim Tionghua (2)


Kehebatan Cheng Ho.


Sepanjang keberadaaannya di istana sebagai sida-sida atau pelayan diraja, beliau telah memanfaatkan segala peluang yang ada, samada mendalami ilmu peperangan, ilmu sejarah, selok belok strukutur istana dan pelbagai lagi. Malah lebih hebat lagi, beliau diberi penghormatan yang tinggi oleh Maharaja Zhu Di setelah diangkat dan dilantik sebagai ketua sida-sida peringkat tertinggi di sisi Maharaja Zhu Di. Sida-sida walaupun di dalam sejarah disebut sebagai golongan yang rendah dan hina, tetapi Cheng Ho tidak pernah menjadikan status tersebut sebagai batu penghalang untuk menjadi seorang yang hebat dalam sejarah.



Mungkin kita terfikir, bagaimana Cheng Ho diberi kepercayaan sebegitu rupa oleh Maharaja Zhu Di iaitu pemerintah Dinasti Ming ketika itu untuk memegang jawatan laksamana. Tetapi segalanya tidak mustahil kerana awal-awal lagi Cheng Ho telah mengambil peluang untuk mempamerkan diri, dan membuktikan dirinya sememangnya berjiwa kental dan hebat.

Pernah berlaku satu peperangan antara Maharaja Zhu Di menentang baki-baki pengikut Zhun Yu Wen yang masih berlegar di luar daerah di sekitar istana dan daerah di China. Cheng Ho telah bersama-sama dengan Zhu Di menentang musuh-musuh di medan peperangan dengan tangkas, hebat dan cekal bagai seorang pahlawan. Maka bermula di situlah bakat Cheng Ho mula dikesan dan dihidu oleh Zhu Di. Sejak dari itu juga Zhu Di memberi kepercayaan penuh kepada Cheng Ho untuk memimpin armada perang dan dagang yang hebat dan agung itu. Cheng Ho bukan sahaja dilihat hebat oleh Zhu Di dari sudut luaran sahaja, bahkan Cheng Ho sangat dikenali dengan peribadi yang hebat, sikap dan akhlak yang baik, berjiwa kental, taat beragama dan mudah didekati.

Kepincangan sejarah tentang Cheng Ho.

Pernah tak kita terbaca tentang pelayaran agung Cheng Ho ke Melaka? Mungkin kebanyakan dari anda semua tak pernah terlepas dari terbaca mengenai pelayaran beliau dalam buku-buku sejarah sekolah rendah atau menengah. Namun bagi saya, pelayaran beliau bukanlah sekadar pelayaran dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata, bahkan ianya lebih bermakna dari itu.

Setelah saya membelek buku yang mengisahkan tentang pelayaran agung Cheng Ho, saya termangu sebentar. Berasa macam tak percaya. Bahkan saya yang seperti insan yang lain pabila membaca tentang sejarah hebat seseorang tokoh, tak dapat menafikan mengapa nama Cheng Ho kurang disebut di dalam sejarah, bahkan ada pihak yang cuba menenggelamkannya sedalam mungkin dalam perut sejarah.

Saya terkejut dan berasa terfikir mengapa kebanyakan kisah Cheng Ho hanya disebut beliau melakukan pelayaran dagang ke negara asing dan membuat hubungan diplomatik dengan negara tersebut. Kisah beliau hanya banyak berlegar-legar dengan kisah sebegitu, kisah beliau membawa barang-barang dagang dan membuat hubungan diplomatik. Sekadar itu, kebanyakkannya. Mungkin anda akan perasan bila membelek-belek semula kisah-kisah beliau di dalam buku-buku teks dan kebanyakkan darinya.

Apa yang saya ingin sebutkan ialah bagaimana keperibadian beliau, kehebatannya memimpin armada yang agung, keIslaman beliau, gerak kerja dakwah beliau, toleransi dan ketegasan beliau dalam hubungan dengan penganut lain, sumbangan besar beliau pada agama Islam, dan yang lain-lain sangat kurang ditonjolkan.




Bahkan setelah meneliti dalam banyak buku-buku sejarah, ada pihak yang beranggapan bahawa Cheng Ho bukan beragama Islam, tetapi beliau menganut agama Buddha. Buktinya terdapat banyak patung-patung Cheng Ho dibina di tokong-tokong sebagai tugu peringatan di Jawa, Indonesia bahkan terdapat juga di Malaysia dan Brunei.

Saya rasa perkara seperti ini walaupun boleh dikira sebagai pengaruh sejarah China yang dibawa ketika zamannya, tetapi tidak sepatutnya peribadi dan kepercayaan beliau diseret sebagai orang yang bukan beragama Islam. Ini yang dipersoalkan.

Armada laut Muslim yang hebat.

Untuk makluman anda semua, di sini saya akan berikan beberapa maklumat mengenai persiapan perdagangan dan pelayaran yang dilakukan oleh Cheng Ho dan tentera - tentera di bawah pimpinannya.

Pada peringkat awal pembacaan saya, saya tertanya mengapa terlalu agung pelayaran Cheng Ho ini?Hingga disebut dalam kebanyakan buku sebagai pelayaran agung?.

Pernah satu ketika sahabat saya dalam kelas subjek yang sama, membentangkan tentang sejarah Dinasti Ming, dan menyentuh sedikit tentang laksamana Cheng Ho yang diutus oleh Maharaja Ming ketika itu. Sahabat saya menyebut jumlah awak-awak kapal yang dibawa dalam kapal Cheng Ho tersebut berjumlah 2700 orang.




Saya terfikir sejenak, 2700 orang? Betul ke?. Ramai jugak tu. Dalam hati saya berkata ; "patutlah namanya pelayaran agung."

Tapi setelah saya meneliti semula kebanyakkan buku berkenaan Cheng Ho dan tenteranya dalam pelayaran tersebut, ternyata saya tersilap. Sahabat saya pun silap. Bukan 2700 orang, tetapi 27, 800 orang!!.

Saya terkedu buat kali kedua, aduh..hebatnya sejarah umat terdahulu. Sangat hebat.

Bagaimana membawa lebih dari 27 ribu orang dalam pelayaran yang sangat jauh untuk 7 kali pelayaran ?? Dalam keadaan lautan yang semua orang tahu sifatnya, bergelora, berombak. Kadang-kadang taufan dan ribut. Subhanallah. Itu sahaja yang mampu saya katakan.

Selain berbekalkan dengan 27 ribu orang awak-awak kapal, kapal tersebut dipenuhi dengan barang-barang dagangan seperti sutera, wangi-wangian, rempah dan sebagainya yang berkapasiti lebih dari 2500 tan muatan.

Kapal-kapal yang dipimpin oleh Cheng Ho bukanlah satu atau dua buah, bahkan ratusan buah kapal!!. Antaranya 62 buah kapal besar, diiringi dengan lebih kurang 200 buah kapal kecil yang berfungsi sebagai kapal komando, kapal kuda, kapal tempur dan sebagainya. Ukuran bagi sebuah kapal besar Cheng Ho adalah berukuran sekitar 122 meter panjang dan 52 meter lebar menjadikan ia kapal yang terbesar di dunia pada ketika itu.




Bayangkan selama 7 kali pelayaran yang dilakukan oleh Cheng Ho sepanjang 28 tahun, berlayar sejauh beribu batu ke negara seperti Afrika, Ormuz, Asia Tenggara, Jawa, Melaka dan lain -lain berbekalkan dengan kekuatan armada yang tidak dapat ditandingi sesiapa walaupun selepas 100 tahun Cheng Ho meninggal dunia.

Pelayaran agung Cheng Ho yang membawa misi damai dan dagang ini tidak mampu ditandingi tokoh pelayaran lain seperti Vasco Da Gama, Christoper Colombus, Marco Polo dan Ferdinand Magellan. Kebanyakkan mereka melakukan pelayaran sekitar 50 - 100 tahun selepas Cheng Ho bahkan masih tidak mampu untuk menandingi kekuatan armada laut yang pernah dipimpin oleh Cheng Ho.

Kadang-kadang selang waktu saya membelek-belek, membaca sejarah Cheng Ho, hati saya rasa kembang. Teruja. Bangga. Bukan bangga sebab apa, tapi sebab sejarah Cheng Ho adalah salah satu sejarah umat Islam, beliau juga seagama dengan saya, walaupun berlainan bangsa, beliau mampu mengangkat nama Islam dalam sejarah yang sangat agung. Ya! Saya sangat berbangga!!



Cheng Ho : Armada Laut Muslim Tionghua (1)



Salam.


Sudah lama saya tak menulis. Mungkin kekontangan idea, mungkin tiada masa nak menulis. Bila terfikir nak menulis rasa tiada idea kerana dalam hati seboleh-bolehnya karya yang ditulis dapat memberi kesan dan perkongsian berguna dengan rakan-rakan yang lain.

Setiap hari terus berfikir dan berfikir. Tak jugak keluar idea. Ibarat perah nyor santan tak ada.

Tetapi baru-baru ini, sejak mengambil subjek Tamadun Islam Asia Timur di bawah Jabatan Sejarah dan Tamadun untuk semester terakhir ni, terasa ada sesuatu yang mesti dikongsikan bersama-sama, apatah lagi saya sekarang sedang membuat satu kajian ilmiah berkenaan seorang tokoh yang cukup hebat, tetapi kurang dikenali dan diketahui sumbangan besarnya.

Mungkin anda pernah dengar tentang Cheng Ho? atau Zheng He? atau Sam Po Kong? atau Man San Bao. Kesemua nama tersebut adalah orang yang sama, tetapi nama yang berlainan versi.




Saya secara peribadi tidak mengenali tokoh hebat ini secara dekat, bahkan sebelum ni saya hampir-hampir tidak mengenalinya. Hanya sekadar tahu dari buku sejarah di sekolah menengah. Itupun tidak menceritakan secara detail berkenaannya.

Cerita Cheng Ho terdapat dalam banyak versi. Maksud saya dari sudut perbezaan nama, versi cerita dan sebagainya. Terdapat juga cerita tentangnya diadaptasi dalam pelbagai bentuk cerita dongeng dan mitos. Ada yang menyebut beliau merupakan seorang yang beragama Buddha, ada juga versi yang mengatakan beliau beragama Tao.

Tapi yang penting, mengikut sumber-sumber yang dipercayai sememangnya Cheng Ho merupakan seorang muslim Tionghua yang kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Sejarah asal usul.

Cheng Ho merupakan seorang muslim yang berketurunan Hui atau Hui Hui, iaitu satu kaum minoriti di negeri China. Antara kaum kecil yang lain seperti Kirgis, Ugyur, dan lain-lain. Beliau dibesarkan di sebuah keluarga yang sememangnya beragama Islam. Menurut catatan sejarah, bapa dan abangnya pernah menunaikan haji di Mekah. Ketika kecil beliau dididik dengan ajaran Islam yang sempurna dan juga hidup dalam suasana keluarga Islam.




Kaum Hui atau Hui Hui terkenal dengan kaum minoriti di China ketika itu. Mereka hidup seharian sebagai nelayan, pekebun dan sebagainya. Bapa beliau juga seorang nelayan yang hebat di lautan. Beliau sejak kecil pernah mendengar pelbagai cerita daripada bapa dan abangnya tentang perjalanan mereka merentas lautan menuju ke Mekah. Dari kecil beliau mendengar tentang pelbagai kisah yang dialami oleh bapanya, tentang ragam manusia, penempatan-penempatan yang tidak pernah dijumpai, suasana iklim yang berbeza-beza, budaya yang berbagai-bagai dan macam - macam lagi. Sejak itulah beliau berminat untuk mendekati dan memahami apa yang dialami oleh bapanya sendiri. Iaitu memahami pelayaran yang memberi seribu makna dan pengalaman.

Ditawan dan dijadikan sida-sida istana.

Sebelum tertegaknya Dinasti Ming, berlaku beberapa pemberontakan yang hebat antara penyokong kuat Maharaja Ming dan juga saki baki penyokong maharaja Dinasti Sung. Peperangan tersebut menyebabkan ramai kanak-kanak dan orang ramai telah ditawan oleh askar-askar maharaja Ming. Mereka semua telah dibawa ke istana Dinasti Ming untuk dijadikan tawanan. Lebih menyedihkan kanak-kanak yang ditawan kesemua telah dikasi atau kebiri secara kejam untuk dijadikan sida-sida ( pelayan lelaki istana ) termasuk Cheng Ho.




Sejak daripada umurnya 12 tahun, beliau telah menjadi sida-sida bagi putera Maharaja Ming, iaitu Zhu Di. Beliau membesar di istana dan sentiasa menjadi pendamping setia Zhu Di. Sebagai seorang yang berjiwa besar, beliau sempat mengambil peluang atas keberadaannya di istana untuk menuntut pelbagai ilmu. Antaranya ilmu ketenteraan, ilmu pelayaran dan sebagainya. Di situlah beliau mempertingkatkan jati diri untuk menjadi seorang yang hebat dan berguna untuk masyarakat.

sambungan ( siri 2 )